Kanak-kanak lemas jatuh sungai, seorang lagi hilang

Sinar Harian
Mei 20, 2023 09:00 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki yang lemas ditemui pada jam 5.06 pagi selepas terjatuh di Sungai Masai berhampiran Flat Seri Intan Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
PASIR GUDANG: Seorang kanak-kanak lemas, manakala seorang lagi masih hilang dipercayai terjatuh di Sungai Masai berhampiran Flat Seri Intan, Bandar Seri Alam di sini pada Jumaat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Pegawai Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.31 malam.
"Seramai 13 anggota dari BBP Pasir Gudang dan enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Skudai membuat selaman seawal jam 4.28 pagi dan menjumpai seorang mangsa, Mohd Danish Ahmad berusia 11 tahun.
"Mangsa ditemui pada jam 5.06 pagi pada jam jarak kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan jatuh.
"Pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa, Zahir Akmal Mohd Idris,13, masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dilakukan sehingga kini. - Sinar Harian
#Kanak-kanak #lemas #Sungai Masai #terjatuh
;