Kanak-kanak lemas, ibu bapa selamat kereta dinaiki jatuh sungai
Adie Sufian Zulkefli
Disember 14, 2022 17:24 MYT
Disember 14, 2022 17:24 MYT
JITRA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas sementara ibu bapanya selamat selepas kereta yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 2.39 petang, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba Komander Operasi melaporkan terdapat sebuah kereta di dalam sungai dan dua mangsa berada di tebing selepas berjaya keluar dari kereta terbabit.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan menemukan mangsa berada di dalam kereta di tempat duduk penumpang di bahagian belakang jam 3.30 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurut Sayani, mayat yang dibawa naik diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, bapa mangsa tidak mengalami kecederaan sementara ibunya yang mengandung tujuh bulan dihantar ke Hospital Jitra untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, polis mengesahkan, kanak-kanak yang maut itu dikenali sebagai Muhammad Khairil Muhaimin Suhaimi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata, kereta Proton Saga yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok.
Katanya, siasatan polis mendapati kereta yang dipandu Suhaimi Hassan, 37 tahun, sedang dalam perjalanan dari arah Tanjung Kapur menghala ke pekan Jitra.
Ia dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok dan tenggelam di dalam sungai.
“Pemandu kereta, mengalami luka di lengan dan muka manakala isterinya, Nurul Aqmar Zainol, 35 tahun, yang mengandung tujuh bulan, luka di pipi kanan dan cedera di badan.
“Mayat anak pasangan itu ditemukan pasukan bomba dan kereta terbabit berjaya ditarik ke atas tebing sungai pada jam 4.30 petang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.