Kanak-kanak lemas ditemui 500 meter dari tempat kejadian

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 28, 2022 11:24 MYT
Anggota penyelamat mengusung mayat Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah yang ditemui nelayan di Bagan Ajam, Butterworth pada Selasa. - Gambar ihsan JBPM
BUTTERWORTH: Mayat kanak-kanak lelaki yang lemas ketika mandi laut dekat Jeti Nelayan Bagan Ajam, dekat sini, petang semalam, ditemui sekitar pukul 9.15 pagi tadi.
Mayat Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, 11, ditemui nelayan yang turut menyertai operasi mencari bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Butterworth serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Nelayan terbabit, Mohd Shafizal Mohd Noor, 33, berkata, dia ternampak rambut di permukaan air dan mengesyaki ia adalah rambut mangsa lalu menariknya ke atas.
"Mayat tersebut terlekat pada tali pukat dan diselaputi selut. Keadaan mayat masih elok dan lengkap berpakaian dan kami memaklumkan penemuan itu kepada bomba," katanya.
Pegawai Kanan Bomba II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Butterworth, Muhammad Isharudin Ismail yang mengetuai operasi mencari sejak jam 5.45 petang semalam berkata, mayat mangsa ditemui nelayan di pesisiran pantai.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa arus kira-kira 500 meter dari tempatnya lemas.
"Sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa, kami bersama anggota APM bergegas ke lokasi.
"Ketika ditemui tiada kesan kecederaan pada mayat mangsa serta masih lengkap berpakaian.
"Mayat diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya," katanya.
Sementara itu, suasana pilu ketika mayat dinaikkan ke darat sebelum keluarga mangsa mengesahkan identiti mayat tersebut.
Keluarga mangsa yang ditemui tidak dapat menahan sebak dan enggan ditemubual.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad mengesahkan penemuan mayat mangsa.
#mayat kanak-kanak #lemas #Jeti Nelayan Bagan Ajam #Butterworth
;