Kanak-kanak lemas di homestay milik keluarga

Shuhada Abdul Kadir
Februari 20, 2023 12:58 MYT
Semasa rakan ibu bapanya tiba di kolam renang mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam kolam renang dan tidak sedarkan diri.- Gambar hiasan/Unsplash
JASIN: Seorang kanak-kanak perempuan ditemui lemas ketika bermandi manda di kolam renang sebuah inap desa (homestay) di Kampung Pulai, Merlimau pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, mangsa Auni Falisha Muhammad Firdaus yang berusia tiga tahun itu dikatakan pergi ke inap desa yang berhampiran kediamannya bersama abangnya yang berumur lima tahun.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati dua beradik itu berjalan kira-kira 500 meter ke inap desa berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.
“Hasil siasatan mendapati mangsa bersama abangnya yang berumur lima tahun telah berjalan kaki ke kolam renang yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah mereka tanpa sebarang pengetahuan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
“Kolam renang itu adalah hak milik ahli keluarga si mati sendiri dan semasa kejadian didapati tiada pelanggan yang mengunjungi dan berada di kolam renang tersebut,” katanya metika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya,kejadian itu disedari selepas abang mangsa pulang ke rumah dalam keadaan basah dan memaklumkan adiknya berada di kolam renang sendirian.
Ibunya kemudian menghubungi rakan sekerja dan meminta bantuan untuk pergi ke kolam renang tersebut bagi melihat keadaan kanak-kanak itu.
“Semasa rakan ibu bapanya tiba di kolam renang mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam kolam renang dan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan secara fizikal ke atas mayat mangsa mendapati tiada sebarang kesan perbuatan jenayah dan bedah siasat telah dilakukan,” tambahnya.
Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#kanak-kanak lemas #homestay #Merlimau #Polis Jasin
;