Kanak-kanak lemas dalam tong: Reman ibu kandung, ayah tiri dilanjutkan
Shuhada Abdul Kadir
Februari 5, 2021 12:42 MYT
Februari 5, 2021 12:42 MYT
AYER KEROH: Tempoh tahanan reman terhadap suami isteri yang disyaki membunuh kanak-kanak yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera dalam kejadian menyayat hati minggu lalu, dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 12 Februari ini.
Perintah dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh Mohd Anuar Ostadi, terhadap wanita berusia 32 tahun dan suaminya yang berusia 38 tahun itu.
Lanjutan tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kedua-dua mereka yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dan ungu itu dilihat tenang ketika dibawa masuk ke bilik khas reman, di sini.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan pasangan itu direman tujuh hari sejak 30 Januari lalu selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat minggu lalu, pihak polis menerima panggilan daripada suspek lelaki yang juga bapa tiri mangsa memaklumkan anaknya lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Sukri Kaman turut mengesahkan hasil bedah siasat mendapati, terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru di kesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.
Jenazah yang dituntut oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Jasin pada Isnin.
Sebelum ini, kisah kanak-kanak itu pernah tular pada Oktober tahun lalu apabila keluarga angkat yang menjaganya sejak bayi terpaksa menyerahkan semula kanak-kanak malang itu kepada ibu kandungnya.
Kisah itu dikongsikan menerusi satu klip video di laman Facebook yang menunjukkan ibu angkat dan keluarganya menangis teresak-esak ketika mendakap kanak-kanak lelaki berkenaan sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya.
#Ibu angkat
#ibu kandung
#lemas dalam tong
#maut
#Kanak-kanak
#Melaka
#mahkamah
#polis
#siasatan
#reman
#bapa tiri
#Jasin
#Mohd Sukri Kaman
#Taman Krubong Jaya
#dera
#Kanun Keseksaan
#lokap
#Mahkamah Majistret
#ayer keroh