Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut terjatuh dari tingkat 10

Bernama
Jun 22, 2022 21:19 MYT
Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini, petang ini.
Mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat tiga kondomium itu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung kemalangan terbabit kira-kira jam 3.30 petang tadi.
"Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur," katanya kepada Bernama.
Menurut Beh, sebelum kejadian mangsa dan ibunya berada di ruang tamu sebelum mangsa berlari ke bilik air dan memanjat tab mandi lalu naik ke atas tembok dalam tandas itu.
"Mangsa dipercayai membuka tingkap tandas sebelum menyusup keluar dan terjatuh di perimeter laluan bomba di tingkat tiga," katanya.
Difahamkan ibu mangsa yang berusia 32 tahun kemudian turun memaklumkan kepada pengurusan mengenai kejadian itu.
Beh berkata polis sedang menyiasat dengan lebih lanjut berhubung kejadian itu.
Mayat mangsa dibawa keluar oleh ibu mangsa pada kira-kira jam 7.30 malam sebelum menaiki kenderaan polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.
-- BERNAMA
#kanak-kanak maut #jatuh bangunan #kondominium #dutamas
;