Kanak-kanak lelaki Rohingya dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari pelantar ikan
Amirrul Rabbani
Disember 1, 2022 12:40 MYT
Disember 1, 2022 12:40 MYT
BAGAN DATUK: Seorang kanak-kanak lelaki dipercayai warga Rohingya dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Pelantar Ikan Seng Lee, Hutan Melintang, dekat sini, pada Khamis.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian membabitkan kanak-kanak berusia lingkungan 7 tahun itu pada pukul 7.08 pagi.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dengan bantuan BBP Teluk Intan telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa menggunakan teknik 'surface searching' atau pencarian di permukaan dengan menggunakan dua unit bot bomba sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, SAR berkenaan membabitkan lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan dan lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Rosli Wan Chik itu kini masih diteruskan.