Kanak-kanak lelaki rentung dalam kebakaran dua rumah di Lahad Datu

Ridzal Abdullah
April 10, 2022 16:43 MYT
Seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta Pasukan Bomba Bantuan Felda Sahabat dikerahkan ke lokasi kejadian. FOTO: JBPM Sabah
LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun rentung dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Labian, Sungai Bilis, Lahad Datu, pada Ahad.
Dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri dari rumahnya yang terbakar.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi.
Tambahnya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta Pasukan Bomba Bantuan Felda Sahabat dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa dikenali sebagai Abu Bakar Ash Siddiq Rajesh ditemui rentung dalam satu daripada dua rumah yang musnah kebakaran tersebut.
‘’Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siastaan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 2.30 petang,’’ ujarnya.
Kejadian tersebut melibatkan dua rumah jenis tidak kekal, masing-masing berkeluasan 83 meter persegi dan 185 meter persegi.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
#kebakaran #Lahad Datu #kanak-kanak rentung #BBP Lahad Datu
;