Kanak-kanak lelaki OKU maut digilis jentera pembajak
Adie Sufian Zulkefli
November 17, 2023 05:10 MYT
November 17, 2023 05:10 MYT
KUBANG PASU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan maut dipercayai digilis jentera pembajak di Kampung Sungai Korok, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa Muhammad Aiman Rosli, yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui penduduk kampung tertiarap di dalam lumpur dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, polis terpaksa memanggil pasukan bomba bagi mengeluarkan mangsa.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra tiba dan melakukan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah alat pemutar.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di badan, kemudiannya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas Rodzi, polis masih melakukan siasatan dan saksi kejadian akan dipanggil untuk mengetahui punca kejadian.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, seramai lapan anggotanya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Syahruddin Awang dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan berhubung kejadian melalui sistem MERS 999.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa iaitu kanak-kanak lelaki, telah tidak bernyawa akibat digilis jentera pembajak,” katanya.