Kanak-kanak lelaki maut tertikam semasa sibuk buat persiapan Deepavali

Bernama
November 15, 2020 14:40 MYT
J.Adithiyan maut selepas tertikam pisau yang dibawa sepupunya dalam satu insiden pada Jumaat. - Gambar BERNAMA
IPOH: Kegembiraan membuat persiapan sambutan Hari Deepavali bertukar tragedi bagi satu keluarga di Taman Cempaka Kampung Koh, Sitiawan, apabila seorang kanak-kanak lelaki maut selepas tertikam pisau oleh sepupunya dalam satu insiden Jumaat lepas.
Kejadian berlaku semasa J.Adithiyan, 7, dipercayai berlari ke arah sepupunya yang berusia 11 tahun, yang sedang membawa pisau, pada kira-kira pukul 10.20 malam.
Menurut bapa saudaranya D. Mathialagan, 43, peristiwa malang yang menimpa anak kecil dan disayangi ramai itu berlaku dengan pantas, disaksikan ahli keluarga lain yang ketika itu berhimpun dan sibuk membuat persiapan Deepavali.
Beliau yang ditemui pemberita di luar Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini hari ini, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu kemudian dibawa ke Hospital Seri Manjung, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba dan laporan polis kemudiannya dibuat di Balai Polis Lumut.
Mathialagan yang hadir bersama adiknya, Kumar, 41, berkata, kanak-kanak itu sememangnya seorang amat aktif, disayangi ramai, dan juga sangat rapat dengan beliau serta isterinya malah sering merujuk beliau sebagai bapanya.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan memaklumkan kes masih dalam siasatan. - BERNAMA
#kanak-kanak lelaki #maut #tertikam pisau #sepupu #Deepavali #Taman Cempaka Kampung Koh #Sitiawan #Perak
;