Kanak-kanak lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 kuarters PGA Cheras

Bernama
Februari 10, 2022 11:55 MYT
Mohd Zaid berkata mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 8.20 pagi di pekarangan kuarters terbabit. - Gambar fail/Facebook Polis selangor
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan lima atau enam tahun maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 10 sebuah kuarters Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 8.20 pagi di pekarangan kuarters terbabit dan telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia menggunakan ambulans Briged Tengah PGA.
Beliau berkata kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di hospital tersebut.
"Ketika kejadian, mangsa yang merupakan anak anggota polis dikatakan tinggal seorang diri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan pengabaian," katanya kepada Bernama.
Mohd Zaid meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pengabaian terhadap anak di bawah umur bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
-- BERNAMA
#kanak-kanak maut terjatuh #kuarters PGA #Mohd Zaid Hassan #jatuh tingkat 10