JERTIH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut selepas bapanya secara tidak sengaja terlanggar mangsa ketika mengalihkan kenderaan pacuan empat roda di rumah mereka di Kampung Wakaf Kubor di Kampung Raja, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian pada sekitar jam 9.30 pagi itu berlaku apabila bapa kanak-kanak tersebut mengalihkan kenderaannya setelah selesai mencucinya di halaman rumah.

"Namun lelaki tersebut tidak menyedari anaknya yang sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah telah bergerak menuju ke arah kenderaan yang dipandunya itu dan menyebabkan dia telah terlanggar kanak-kanak itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata bapa kanak-kanak itu kemudiannya membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Gong Medang di sini, namun kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia sekitar jam 10.30 pagi.

Katanya itu kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA