Kanak-kanak lelaki lemas ketika mandi di Pantai Damat

Muhafandi Muhamad
Mac 13, 2023 06:15 MYT
Wan Muhammad Afif Danial ditemukan lemas ketika sedang mandi bersama rakan-rakan di Pantai Damat, Bachok, 13 Mac 2023. - Foto Sinar Harian
BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan meninggal dunia selepas lemas ketika sedang mandi bersama lima lagi rakannya di Pantai Damat, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Wan Muhammad Afif Danial Wan Mohd Nasir meninggal dunia beberapa minit selepas dibawa naik ke tepi pantai.
Menurut saksi, Asimah Abdul Manaf, ketika kejadian dia berada di rumah nenek suaminya, berhampiran pantai sebelum didatangi seorang wanita yang menjerit meminta tolong bagi menyelamatkan kanak-kanak lemas.
Sebaik tiba, beliau bersama abang iparnya, Mohd Azizul Zawawi, terjun ke dalam laut dan berusaha menyelamatkan kanak-kanak tersebut dengan membawanya naik ke daratan.
Katanya, ketika dibawa ke darat, mangsa masih bernyawa sebelum menghembuskan nafas terakhirnya tidak lama kemudian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin yang turut hadir ke lokasi mengesahkan kejadian.
Katanya, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, Mohamad Ismail berkata, kejadian berlaku akibat ombak yang sangat bergelora ketika ini yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung.
Katanya, polis akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Jajahan Bachok bagi menaikkan papan tanda larangan mandi.
Tambahnya, pihaknya juga akan melakukan rondaan di sepanjang pantai di kawasan Bachok bagi memastikan peristiwa seumpama itu tidak berulang.
#kanak-kanak lemas #Bachok #ombak bergelora #lemas
;