Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas

Norfarhiza Mohd Atar
Mac 1, 2023 06:10 MYT
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pekan turut diarah ke lokasi bagi membantu operasi SAR. - Gambar hiasan
PEKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Pasir, Kampung Seri Makmur, Chini di sini pada Rabu.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2. 49 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dengan dibantu anggota dari BBP Maran bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dibantu oleh anggota dari BBP Peramu yang membawa bersama bot penyelamat.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak kami dimaklumkan berlaku kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dipercayai lemas di Sungai Pasir.
"Orang awam telah bertindak meminta bantuan pihak bomba untuk mencari dan menyelamat mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pasukan bomba membuat operasi SAR di sekitar sungai tersebut dengan menggunakan bot orang awam memandangkan bot bantuan dari BBP Peramu belum tiba di lokasi.
Jelasnya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pekan turut diarah ke lokasi bagi membantu operasi SAR.
#lemas #Kanak-kanak #JBPM #Sungai Pasir
;