Kanak-kanak lelaki autistik hampir lemas terjatuh dalam tali air

Adie Sufian Zulkefli
Januari 19, 2024 07:15 MYT
Anggota Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia memberi bantuan kepada mangsa Muhammad Izz Muttaqin Muhamaad Rizal .
SIK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan hampir lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah tali air di Kampung Tengah, Mukim Jeneri, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa yang juga penghidap autisme bermain seorang diri di hadapan rumah neneknya yang terletak tidak jauh dengan tali air terbabit.
Pengarah Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BYSJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.13 petang dan sepasukan empat anggota penyelamat BSYJM digerakkan ke lokasi dengan sebuah ambulan paramedik bagi operasi menyelamat mangsa.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa, Muhammad Izz Muttaqin Muhamaad Rizal tidak sedarkan diri dan badannya sudah kebiruan.
"Pihak kami melakukan bantuan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) untuk menyelmatkan mangsa.
"Sebaik mendapati mangsa mula memberi tindak balas, kami memberikan bantuan oksigen dan membawa mangsa ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.
"Mangsa kini ditempatkan di Zon Merah dan keadaanya dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, nenek mangsa yang hanya dikenali sebagai Hasnah ketika dihubungi berkata, awalnya dia menyangka cucunya mengikuti suaminya ke masjid untuk menunaikan solat Asar.
“Namun, saya berasa tidak sedap hati, terus keluar dari rumah lalu mencari cucu di serata tempat sebelum ditemui terlangkup dalam tali air.
“Cucu berjaya dinaikan ke atas tebing dengan bantuan jiran. Ketika itu dia tidak sedarkan diri sebelum jirannya bertindak menghubungi pasukan BSYJM,” kata Hasnah.
Menurut Hasnah ibu bapa kanak-kanak itu menetap di Kuala Lumpur kerana bekerja.
#kanak-kanak autistik #lemas #jatuh tali air #Kampung Tengah Mukim Jeneri
;