Kanak-kanak kritikal sah dijangkiti virus JE
Astro Awani
Jun 15, 2016 16:01 MYT
Jun 15, 2016 16:01 MYT
Kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, disahkan dijangkiti virus Japanese Encephalitis (JE).
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Abdul Rahim Abdullah, budak lelaki terbabit masih di bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ.
"Keputusan ujian darah menunjukkan kanak-kanak itu positif JE dan kita akan meneruskan pemantauan," katanya.
Tambah Abdul Rahim, setakat ini tiada bukti yang menunjukkan wujudnya kaitan antara semua tiga kes JE yang dikesan di Negeri Sembilan sejak Januari lalu.
Kanak-kanak enam tahun itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
Bagaimana pun keadaannya makin kritikal dan dipindahkan ke HTJ pada 20 Mei lalu.
Tiga hari lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, memaklumkan masyarakat tidak perlu bimbang dengan kes tersebut kerana ia adalah kes terpencil.
Tambahnya, virus JE berkenaan bukan satu wabak yang boleh dipindahkan dari manusia ke manusia.