Kanak-kanak jatuh bangunan: Cadangan penghadang lebih tinggi perlu dikaji - KPKT

Bernama
November 30, 2021 17:02 MYT
Ismail berkata, cadangan agar pemaju projek perumahan bertingkat membina penghadang yang lebih tinggi perlu diberi perhatian. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Cadangan agar pemaju projek perumahan bertingkat atau berstrata membina penghadang yang lebih tinggi bagi mengelakkan kanak-kanak terjatuh dari bangunan perlu diberi perhatian, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
"Perlu teliti perkara ini, mungkin ia akan melibatkan kos tambahan namun demi keselamatan jangka panjang kanak-kanak, ia sesuatu perkara yang perlu dibincangkan," katanya mengulas cadangan itu susulan insiden kanak-kanak terjatuh dari bangunan tinggi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH) di sini hari ini.
Pada 16 Nov, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari kediamannya di tingkat 29 di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, dan keesokannya (17 Nov), seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan pemaju projek perumahan bertingkat atau berstrata supaya mengutamakan keselamatan penghuni, terutama menambah baik aspek pembinaan penghadang yang lebih tinggi.
Sementara itu, Ismail berkata MoU itu antara lain bertujuan menjalin hubungan strategik melalui kajian penyelidikan, pembangunan dan inovasi khususnya dalam hal berkaitan pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan penggunaan sistem pengurusan sisa pepejal pembinaan bagi projek di bawah PJH.
Katanya PJH terlibat dengan 128 projek pembangunan di Putrajaya dengan anggaran penjanaan sisa pepejal pembinaan sebanyak 84,284 tan antaranya batu, kayu, papan lapis dan bekas simen yang boleh dikitar semula bagi penggunaan di sektor pembinaan.
-- BERNAMA
#kanak-kanak jatuh bangunan #penghadang lebih tinggi #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #Ismail Abd Muttalib
;