Kanak-kanak hilang: Purata 770 kes setahun, ikut kawan, kekasih antara punca

Hasimi Muhamad
Oktober 17, 2024 12:40 MYT
Saifuddin berkata sepanjang tempoh 2020 hingga September 2024, seramai 3,847 kes kehilangan kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah direkodkan - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Cari kebebasan, ikut kawan dan kekasih serta salah faham dengan keluarga menjadi antara punca kes kehilangan kanak-kanak di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, sepanjang tempoh 2020 hingga September 2024, seramai 3,847 kes kehilangan kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah direkodkan, dengan puratanya 770 kes setahun, atau kira-kira dua kes sehari
Jelas beliau, daripada statistik tersebut, kanak-kanak perempuan adalah paling ramai hilang dengan 74 peratus, manakala 26 peratus (lelaki).
"Menariknya adalah daripada 3,847 kes kanak-kanak hilang ini; umur 18 ke bawah, yang berjaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jumpa semula adalah 96 peratus. Maknanya bagi setiap 100 hilang, 96 kita selamatkan dan yang meninggal dunia atau apabila jumpa mati, adalah 10.
"Jadi yang baki itu masih kita klasifikasikan sebagai masih hilang. Dari segi kategori umur kanak kanak yang hilang, paling ramai, umur 13-15 tahun iaitu 54 peratus. Umur 16 hingga 18 tahun (37 peratus)," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kementerian bagi menangani kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan semakin.
Menjawab lanjut, Saifuddin PDRM melalui Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah telah melaksanakan usaha menangani kes kehilangan kanak-kanak meliputi sebelum insiden hilang, setelah dilapor dan selepas.
Katanya, setakat tahun ini sebanyak 457 program kesedaran telah dibuat membabitkan 141,000 kanak-kanak, selain mengaktikan segera pencarian sebaik menerima laporan kehilangan kanak-kanak.
"Ia termasuk membuat hebahan secara meluas dan menggunakan Nur Alert, memasukkan dalam portal kanak-kanak hilang selepas diizinkan ibu bapa atau pencaga serta meluaskan pencarian.
"Selepas kanak-kanak ditemui, lazimnya pihaknya akan memberikan sokongan moral dan psikologi kepada keluarga yang terlibat," ujar beliau lagi.
#kes kanak-kanak hilang #Punca kanak-kanak hilang #Dewan Rakyat #terkini
;