Kanak-kanak hilang di Sungai Kuala Sat ditemukan lemas

Bernama
Februari 19, 2024 22:50 MYT
Azman berkata mayat Ali Mustaqim, ditemukan pada jam 3.05 petang tadi pada kedalaman 18 meter dan kira-kira 20 meter dari lokasi mangsa dilaporkan dihanyutkan oleh arus deras. - Gambar Sinar Harian
KUANTAN: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Kuala Sat, Ulu Tembeling di Jerantut dekat sini, semalam, ditemukan lemas.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azman Mat Kamis berkata mayat mangsa, Ali Mustaqim Rizman, ditemukan pada jam 3.05 petang tadi pada kedalaman 18 meter dan kira-kira 20 meter dari lokasi mangsa dilaporkan dihanyutkan oleh arus deras.
"Mangsa ke sungai itu bersama lima rakannya untuk mandi pada jam 3.20 petang semalam sebelum dia dikatakan menjerit meminta tolong sekitar 20 minit kemudian," katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut dan bedah siasat mengesahkan kematian anak bongsu daripada dua beradik itu adalah akibat lemas.
-- BERNAMA
#lemas #mayat #bedah siasat #meminta tolong
;