Kanak-kanak hilang di pantai Tanjung Sepang ditemui lemas
Bernama
Februari 1, 2016 23:38 MYT
Februari 1, 2016 23:38 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki yang hilang ketika mandi di pantai Tanjung Sepang, Sungai Rengit di sini dua hari lepas, ditemui mati lemas hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata mayat Heng Tock Peng, 12, ditemui pada pukul 2.35 petang tadi, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
"Mayat Heng yang hanya berseluar ditemui terapung oleh pasukan penyelamat dan kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut," katanya.
Mohd Fadli berkata operasi mencari dan menyelamat hari ini membabitkan pencarian sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian yang melibatkan kawasan pesisiran pantai.
Katanya pencarian di laut tidak dapat dilakukan ekoran keadaan laut bergelora, angin kencang serta ombak setinggi tiga meter.
Ekoran penemuan mayat Heng, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan selama 24 jam sejak dua hari lepas kini ditamatkan, kata Mohd Fadli.
Dalam kejadian Sabtu lepas itu, Heng dari Perumahan Transit, Taman Bayu Damai, Sungai Rengit dilaporkan hilang selepas dipercayai terjerlus ke bahagian dalam pantai terbabit ketika sedang mandi-manda bersama dua lagi rakannya.
Murid tahun enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Rengit bersama rakan-rakanya itu dikatakan berkunjung ke pantai tersebut pada 5 petang sebelum kejadian berlaku kira-kira setengah jam kemudian.
#ditemui mati lemas
#Hospital Kota Tinggi
#mohd fadli ismail
#Seorang kanak-kanak lelaki yang hilang ketika mandi di pantai Tanjung Sepang
#sjkc sungai rengit
#Sungai Rengit di sini dua hari lepas