Kanak-kanak empat tahun tujuh bulan maut jatuh dari tingkat 11 kuarters polis

Umavathi Ramayah
April 28, 2023 20:27 MYT
Wan Azlan Wan Mamat berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. - Gambar fail
SUBANG JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun tujuh bulan maut selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah kuarters polis di USJ, Subang Jaya, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi, ibu si mati berada di dapur sementara dua anaknya termasuk mangsa sedang bermain di ruang tamu.
Katanya, tiba-tiba ibu mangsa terdengar bunyi pintu bilik tengah rumahnya tertutup dengan kuat.
"Ibu mangsa cuba membuka pintu tetapi gagal kerana pintu terkunci dari dalam.
"Pada masa yang sama, si ibu terdengar suara anaknya itu meminta tolong.
"Beliau kemudian pergi ke bilik bersebelahan dan apabila melihat ke luar tingkap, ibunya mendapati mangsa sudah terjatuh ke bawah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Wan Azlan memberitahu, pihak forensik dan pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia.
Katanya, siasatan mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dan kes itu diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).
Mayat kanak-kanak itu menurutnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik dan bapa mangsa yang merupakan anggota polis juga tinggal di kuarters sama.
#Kanak-kanak terjatuh #kematian mengejut #terjatuh bangunan #kuarters polis
;