Kanak-kanak empat tahun rentung di Tenom
Bernama
Jun 28, 2014 15:47 MYT
Jun 28, 2014 15:47 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki empat tahun rentung dalam kebakaran di Kampung Melalap, Tenom yang terletak kira-kira 173km dari sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K. Ramin berkata mayat Itham Nick Ivan, ditemui rentung di bilik tidurnya pada 7.40 pagi.
Beliau berkata pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tenom tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit selepas menerima panggilan.
"Pasukan bomba dengan kekuatan 13 anggota menggunakan dua jentera dan satu utiliti berjaya memadam api sepenuhnya pada 8.45 pagi," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom Runzi Thani berkata bomba menemui kanak-kanak berkenaan yang dipercayai tinggal bersama emak saudaranya, rentung di bilik tidur selepas anggota bomba selesai memadamkan kebakaran.
"Rumah jenis kekal itu terbakar 80 peratus," katanya.
Punca kejadian dan jumlah kerugian belum dikenal pasti.