Kanak-kanak empat tahun rentung dalam kebakaran di Tanah Merah

Vivi Sumanti
September 27, 2019 16:55 MYT
Rumah berkenaan terbakar 80 peratus. - Foto JBPM
Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia empat tahun rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi tadi itu, mangsa masih belum dapat dikenal pasti identiti itu ditemui rentung oleh anggota bomba yang bertugas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 11.46 pagi.
Katanya, dua buah jentera dari Balai Tanah Merah dan Machang digerakkan ke lokasi kejadian bersama 12 anggota termasuk pegawai.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman diperbuat daripada kayu dan batu.
“Rumah berkenaan terbakar 80 peratus dan api dapat dikawal jam 12.30 tengah hari," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, jenazah kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.
Katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
#Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah #bomba #Hospital #Ipoh #jenazah #Kanak-kanak #kebakaran #Kelantan #OKU #Orang Kurang Upaya #Tanah Merah
;