Kanak-kanak empat tahun maut terjatuh dari tingkat 35 kondominium

Umavathi Ramayah
Julai 19, 2022 16:14 MYT
Mohamad Farouk berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak. - Foto PDRM
AMPANG JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Pandan Perdana di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah dikatakan membawa kanak-kanak itu bersama-sama sebelum meninggalkannya yang sedang tidur di ruang tamu sebuah rumah di tingkat 35, tempat dia bekerja sebelum turun ke kedai dobi.
Katanya lagi, semasa ibunya sedang bekerja, tiba-tiba wanita itu melihat orang ramai berkerumun di kawasan tingkat bawah kondominium dan apabila mendekati tempat kejadian wanita itu mendapati mangsa adalah anaknya.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya mangsa bangun dari tidur dan membuka sliding door sebelum memanjat kerusi yang berada di balkoni," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mohamad Farouk menambah, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik sementara dua lagi adik-beradik mangsa tinggal bersama nenek mereka di Indonesia.
"Ketika kejadian bapa mangsa berada di Petaling Jaya dan sedang berkerja. Ibu dan bapa si mati adalah warga Indonesia yang menetap di Malaysia sejak lima tahun yang lalu," katanya.
Mayat kanak-kanak itu katanya, dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.
Beliau memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Setakat pukul 3 petang ini, tiada sebarang penahanan dilakukan.
#kanak-kanak mati terjatuh #pembantu rumah #kecuaian #pengabaian
;