Kanak-kanak empat tahun maut terjatuh balkoni tingkat 17

Bernama
September 13, 2018 18:32 MYT
Kejadian berlaku di PPR Kota Damansara sekitar jam 7 pagi tadi. - Foto Twitter Bernama Radio
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 17, Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, kira-kira 7 pagi tadi.
Kejadian yang menimpa Siti Nur Nadhirah Khairul Anuar itu berlaku ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah kerana telah keluar berniaga di Bukit Jelutong.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata hasil percakapan awal dengan kakak mangsa yang berusia 14 tahun, sebelum kejadian remaja itu keluar untuk menghantar adik lelakinya yang berusia tujuh tahun ke sekolah berdekatan dan meninggalkan mangsa yang sedang tidur kerana demam, sendirian.
"Sebaik pulang, jirannya memberitahu mangsa telah terjatuh dari balkoni dan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati pintu di ruang kering balkoni itu tidak bertutup dan tiada jerigi sebagai penutup di bahagian atas.
"Selain itu, polis mengenal pasti terdapat sebuah kerusi plastik dipercayai digunakan untuk memanjat," katanya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. -- Bernama
#jatuh balkoni #Kanak-kanak #PPR Kota Damansara
;