Kanak-kanak empat tahun hilang selepas jatuh dalam longkang

Bernama
Disember 28, 2020 06:02 MYT
Operasi mengesan kanak-kanak itu turut bertumpu di kawasan perangkap sampah yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan etnik Rohingya berusia empat tahun dikhuatiri lemas apabila hilang selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di Kampung Ampang Campuran di sini petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata operasi mengesan kanak-kanak itu sejak petang semalam, turut bertumpu di kawasan perangkap sampah yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Beliau berkata operasi bagaimanapun terpaksa dihentikan pada pukul 8.10 malam tadi disebabkan persekitaran kawasan yang gelap dan arus deras.
“Kanak-kanak itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang di sekitar rumahnya di Lorong Ikan Jelawat 8 ketika bermain, sebelum dihanyutkan ke longkang besar dengan lebar kira-kira 10 meter dan kedalaman air kira-kira satu meter,” katanya kepada Bernama semalam.
Norazam berkata usaha mencari akan bersambung pagi hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.50 petang semalam daripada keluarga mangsa sebelum menggerakkan dua jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
-- BERNAMA
#Norazam Khamis #Kanak-kanak #Rohingya #lemas #hilang #arus deras #Selangor #sampah #operasi #longkang #jatuh #Kampung Ampang Campuran
;