Kanak-kanak empat tahun ditemukan lemas terjatuh parit

Bernama
September 11, 2023 10:45 MYT
Menurut polis, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan lemas setelah dipercayai terjatuh ke dalam parit yang terletak di belakang rumah keluarganya sebelum dihanyutkan air deras di Felda Chiku 1, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa Muhammad Syahrul Darwish Mohd Mazuan, ditemukan penduduk pada 6.50 petang kira-kira empat kilometer dari lokasi parit tersebut.
Sik berkata terdahulu polis menerima laporan kehilangan mangsa pada 6.15 petang.
"Mangsa telah ditemukan dalam keadaan terbaring di padang bola Felda Chiku 1 dipercayai dibawa arus deras dan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sik berkata mayat mangsa seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah ke atas mangsa.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian adalah disebabkan lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
-- BERNAMA
#kanak-kanak jatuh parit #lemas #Felda Chiku 1 Gua Musang #Polis Daerah Gua Musang
;