Kanak-kanak empat tahun disyaki didera rakan ibu

Astro Awani
November 11, 2024 22:48 MYT
Shahrulnizam berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.55 pagi Sabtu, mendakwa kanak-kanak disyaki didera. - Gambar fail
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera di badan dan mata disyaki didera penjaga sementara yang juga rakan kepada ibunya, di Taman Desaria, Petaling Jaya.
Perkara itu terbongkar selepas doktor yang merawat mangsa ketika dibawa ke klinik oleh ibunya pada 8 November lalu membuat laporan polis susulan kecederaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.55 pagi Sabtu, mendakwa kanak-kanak disyaki didera.
Kata beliau, siasatan awal mangsa mungkin didera rakan ibunya hingga cedera di bahagian mata, tangan kiri dan kanan serta luka di punggung.
"Ibu mangsa yang sebelum ini ditahan atas kesalahan dadah pada 18 September lalu dan diikat jamin pada 6 November, mendapati anaknya mengalami kecederaan tetapi mendakwa dimaklum rakan bahawa kesan itu akibat terkena mercun.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan setakat ini suspek belum ditahan lagi," katanya dalam kenyataan malam ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat Inspektor R Daamotaran Naiidu 019-6551269.
#Kanak-kanak #dera #Dadah #mercun
;