Kanak-kanak empat tahun derita penyakit lidah besar, terjelir

Ernalisa Othman
Januari 31, 2021 18:08 MYT
Muhammad Rizqi yang berusia empat tahun tidak dapat makan dengan sempurna akibat penyakitnya. - Gambar/ Astro AWANI
MERSING: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa melalui kehidupan memilukan tidak seperti rakan seusia kerana menghadapi masalah lidah besar dan terjelir atau 'cystic hygroma' sejak dilahirkan.
Muhammad Rizqi Hafazan Mohd Rafizal yang berusia empat tahun tidak dapat makan dengan sempurna disebabkan dia tidak boleh mengunyah dengan betul akibat penyakitnya itu.
Bagai jatuh ditimpa tangga, bapanya pula, Mohd Rafizal Moosa, 42, yang sebelum ini bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang, hilang pekerjaan berikutan penularan COVID-19.
Dia bimbang melihat keadaan penyakit anaknya yang semakin serius dengan lidahnya semakin membengkak.
"Saya nampak lidahnya semakin bengkak, makin besar. Saya memang risau dengan keadaannya. Memikirkan masa depannya juga membimbangkan saya. Macam mana dia hendak ke sekolah nanti.
"Adakah dia akan sembuh? Ada perubahan atau tidak? Itu yang saya selalu fikir.
"Apa pun saya sentiasa beri sepenuh tumpuan terhadapnya. Segala keperluan dia saya cuba penuhi. Saya memang ketepikan perkara lain termasuk hobi atau perkara tidak penting. Malah kerja pun kena cari yang sesuai dengan keadaan kami," katanya.
Rizqi dan bapanya ditemui di rumah mereka di Kampung Semeloi, Endau, Mersing pada Ahad.
Bapa tunggal kepada tiga anak itu berkata, dia amat berharap penyakit anaknya akan dapat dirawat dan sembuh sepenuhnya.
Buat masa ini, dia bersyukur walaupun hilang perkerjaan tetapi masih mempunyai sedikit simpanan untuk menyara keluarga selain menerima bantuan daripada jiran dan saudara terdekat.
Dalam pada itu, masalah yang dialami Rizqi turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang juga Ahli Parlimen Tenggara yang menziarahi keluarga itu.
"Hasil semakan mendapati kanak-kanak berkenaan telah menerima rawatan akhir pada awal 2019. Keadaan penyakit itu membimbangkan kerana pesakit boleh tidak sedarkan diri secara mengejut ketika tidur.
"Kita bertemu dengan keluarganya dan kita pastikan adik Rizqi ini dapat temu janji (hospital) dan dapat diletakkan dalam pengawasan pakar bedah pediatrik di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru," katanya.
Katanya, Rizqi kini dibekalkan dengan peralatan menyedut lendir daripada hidung untuk memudahkan penjagaannya di rumah.
Beliau berkata, selain itu pihaknya juga akan menyelaras kemudahan pengangkutan untuk keluarga berkenaan berulang-alik dari Mersing ke HSA untuk rawatan kanak-kanak terbabit.
#Kanak-kanak #lidah #bengkak #besar #terjelir #Mersing #cystic hygroma #Muhammad Rizqi #Mohd Rafizal #Dr Adham Baba #Kampung Semeloi
;