Kanak-kanak dua tahun dilapor hilang ditemui lemas

Ridzal Abdullah, Petrus Bernard
Julai 22, 2021 18:20 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan hilang ketika keluar bersama ibunya ditemui lemas dalam sungai pada Khamis. - Foto ihsan bomba
TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan hilang ketika keluar bersama ibunya di kampung Kuala Apas, Tawau, Sabah pada Rabu, ditemui lemas dalam sungai berdekatan pada Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes itu itu pada jam 9.11 malam semalam.
"Sepasukan enam anggota Bomba dari Balai Bomba Tawau digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Bagaimanapun mangsa, katanya Mohd Khairul Abdullah, gagal ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11.36 malam dan disambung semula pada pagi Khamis.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada jam 9.17 pagi dengan keluasan radius pencarian sekitar 1 kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.
"Mangsa akhirnya ditemui terapung oleh anggota bomba disungai berdekatan kampung tersebut pada kira-kira jam 12.25 tengah hari dan disahkan telah meninggal dunia," katanya.
Proses pengecaman oleh kedua ibu bapa mangsa mengesahkan mangsa adalah anak mereka yang hilang sejak Rabu dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Tawau bagi proses bedah siasat sebelum mayat mangsa diserahkan kepada keluarga untuk proses pengebumian.
Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
#kanak-kanak lemas #hilang #Tawau #Kuala Apas #Mohd Khairul Abdullah
;