Kanak-kanak diserang kera dibenar keluar hospital
Sinar Harian
September 27, 2021 07:30 MYT
September 27, 2021 07:30 MYT
SEREMBAN: Kanak-kanak perempuan yang cedera selepas diserang kera liar di halaman rumahnya di Taman Dusun Nyior pada Selasa lalu sudah dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada Isnin
Ibu saudaranya, Nur Syaheera Mohamad, 24, berkata, mangsa berusia setahun tujuh bulan itu kini berada dalam keadaan stabil dan luka digigit kera juga sudah kering, namun memerlukan pemantauan rapi.
Katanya, anak saudaranya itu sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban sebelum dipindahkan ke HKL.
"Alhamdulillah, anak saudara sudah balik ke rumah tadi, sekarang ini dia berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang jangkitan, cuma doktor menasihatkan supaya berjaga-jaga sahaja.
"Lukanya sudah kering dan menunggu masa untuk sembuh, terdapat lima tempat dijahit di belakang badannya, dan kini semuanya semakin pulih," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun, berkata, pihaknya akan membuat lawatan ke rumah mangsa dalam masa terdekat.
"Setakat ini pihak keluarga belum menghantar borang permohonan untuk bantuan serangan binatang buas.
"Namun, kami akan membuat lawatan ke rumah mangsa untuk membantu keluarganya memudahkan permohonan," katanya.
Tambahnya, selepas kejadian serangan berkenaan, pihaknya memasang perangkap di kawasan hutan berhampiran rumah mangsa, namun sehingga kini belum ada haiwan jenis itu yang tertangkap.
"Kami percaya hanya seekor kera itu yang berada di lokasi terbabit dan dipercayai tersesat daripada kawanan dan habitat sebenarnya," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak dimasukkan ke Hospital Tuaku Jaafar (HTJ) Seremban selepas digigit kera di halaman rumahnya kira-kira jam 8 pagi pada Selasa lalu.
Perhilitan yang menerima aduan daripada seorang wanita kemudian bergegas ke lokasi dan menembak mati seekor kera jantan yang masih berlegar di atas pokok berhampiran rumah mangsa, sebelum bangkainya dibawa balik ke pejabat untuk tindakan lanjut.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.