Kanak-kanak diserang anjing liar meninggal dunia

Lynch Cowan
Mac 27, 2020 16:10 MYT
Mangsa sebelum ini cedera akibat digigit anjing liar. Gambar fail/ Bernama.
Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang cedera digigit anjing liar meninggal dunia dipercayai akibat rabies di Hospital Sibu di sini, pada malam Khamis.
Abbiera Mia Alexson disahkan meninggal dunia pada jam 9.40 malam.
Pemangku Pengarah Hospital Sibu, Dr. Muhammad Ng Siah Huat, berkata mangsa dimasukkan di hospital berkenaan pada 9 Mac lalu, sehari selepas digigit anjing liar di kawasan perumahannya di Jalan Sentosa dekat sini.
“Dia yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan kelopak mata ketika itu dirawat di Unit Kecemasan sebelum menerima rawatan lanjut dan dibenarkan keluar pada 13 Mac,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Kesihatan mangsa semakin buruk dan menunjukkan gejala rabies sebelum dihantar semula ke Hospital Sibu pada 24 Mac.
Beliau berkata, pihaknya mengesyaki punca kematian mangsa akibat rabies dan sampel darahnya sudah dihantar ke makmal untuk siasatan dan pengesahan lanjut.
#anjing #Hospital #Kanak-kanak #liar #mangsa #meninggal dunia #rabies #Sibu
;