Kanak-kanak dipercayai diseret buaya hilang di sungai

Bernama
Disember 22, 2015 23:57 MYT
Seorang saksi memberitahu bahawa beliau hanya sempat melihat seekor buaya mengheret kanak-kanak berkenaan ke dalam sungai. - Gambar Hiasan
Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun hilang selepas dipercayai diserang buaya di sungai Kampung Bungin, Spaoh, Betong kira-kira 300km dari sini petang Selasa.
Jurucakap bomba dalam satu kenyataan malam ini berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan Fakhrul Dahari, pelajar tahun 4 Sekolah Kebangsaan Bungin, pada kira-kira pukul 3.49 petang dari Balai Polis Betong.
Katanya difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu seorang saksi memberitahu bahawa beliau hanya sempat melihat seekor buaya mengheret kanak-kanak berkenaan ke dalam sungai.
Beliau berkata bomba dengan kerjasama penduduk tempatan melancarkan gerakan mencari sebaik tiba di tempat kejadian, namun sehingga operasi ditangguhkan pada kira-kira pukul 7 malam dan kanak-kanak berkenaan masih belum ditemui.
Operasi bersambung Rabu.
#Betong #buaya #Kuching #Sarawak