Kanak-kanak dilapor hilang rupanya bersama bapa kandung

Astro Awani
Disember 3, 2020 08:29 MYT
RAJAB: Hasil pemeriksaan awal, kanak kanak tersebut dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang semalam telah dijumpai.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata susulan hebahan media dan talian Nur Alert, Muhammad Afif Faiq Mohd Izmeet Iskandar disahkan berada di bawah jagaan bapa kandungnya.
Menurut Rajab, pihaknya menerima laporan kehilangan itu daripada bapa angkatnya berusia 57 tahun.
"Lelaki itu tinggal berdua bersama kanak-kanak tersebut di sebuah pangsapuri di Setapak Jaya di sini.
"Dia menyedari kehilangan kanak-kanak itu setelah pulang dari kedai.
"Lelaki tersebut cuba mencari anak angkatnya di kawasan kediaman itu, namun gagal," katanya sepertimana dilapor Sinar Harian.
Rajab berkata, lelaki berkenaan telah hadir ke balai polis berhampiran untuk melaporkan kejadian tersebut.
"Tindakan hebahan melalui siaran media dan talian Nur Alert telah dibuat. Hasil siasatan lanjut, kita mendapati kanak-kanak tersebut dalam jagaan bapa kandungnya," katanya.
Beliau berkata, terdapat sedikit salah faham antara bapa kandung dan bapa angkat kanak-kanak itu sehingga mengakibatkan terjadinya isu berkenaan.
"Hasil pemeriksaan awal, kanak kanak tersebut dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
"Kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju. Kita sedang merakam keterangan kesemua pihak termasuk kanak-kanak tersebut," katanya.
Rajab berkata, selesai proses dokumentasi, kanak-kanak itu diserahkan semula kepada bapa angkatnya untuk tindakan lanjut.
"Kita menyeru agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak betul.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak atas maklumat dan tindakan segera yang diterima daripada orang ramai sehingga selesainya kejadian ini," katanya.
#Rajab Ahad Ismail #Muhammad Afif Faiq Mohd Izmeet Iskandar #Nur Alert #Bapa kandung #bapa angkat #salah faham
;