Kanak-kanak dikurung: Mungkin ada unsur dera - Polis

Salim Aziz
Mac 5, 2019 22:20 MYT
Sepanjang lima hari dikurung, mangsa dilaporkan tinggal sendirian dengan rumah berkunci dari luar serta tidak diberi makan. - Astro AWANI
Polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur dera terhadap kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun yang dikurung selama lima hari di sebuah rumah di Taman Hijrah, di sini, sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, unsur dera itu merujuk kepada kemungkinan penderaan dari segi mental dan fizikal.
"Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan kesihatan daripada pihak hospital kerana kanak-kanak malang itu masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar sejak diselamatkan pada pukul 9 malam Ahad.
"Sehingga kini, kanak-kanak itu masih belum disoal siasat kerana pakar tidak membenarkan untuk bertemu dengan orang luar," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun dikurung selama lima hari oleh ibu kandungnya di sebuah rumah di Kangar sebelum diselamatkan polis pada Ahad malam.
Sepanjang tempoh dikurung, mangsa dilaporkan tinggal sendirian dengan rumah berkunci dari luar serta tidak diberi makan.
Rentetan itu, polis akan memanggil teman lelaki ibunya yang berusia 30-an untuk disoal siasat, namun enggan mendedahkan secara lanjut mengenai identiti lelaki terbabit.
Tambah Noor Mushar, ibu kandung mangsa yang berusia 31 tahun disahkan tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga adalah negatif.
"Bagaimanapun, wanita itu yang dibebaskan dengan jaminan polis selepas dipanggil beri keterangan pada Isnin, tidak dibenarkan untuk mendekati kanak-kanak terbabit.
"Kanak-kanak itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dibenarkan keluar hospital dan polis tidak membenarkan dia tinggal bersama ibu serta keluarganya," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
#budak 7 tahun dikurung #Hospital Tuanku Fauziah #kanak kanak 7 tahun dikurung #kanak kanak dikurung ibu #Kangar
;