Kanak-kanak di Mukah, Sarawak maut akibat 'pneumonia', bukan HFMD

Nursyazwani Saiful Sham
Julai 29, 2018 12:18 MYT
Punca kematian adalah disebabkan oleh pneumonia. Mangsa sebelum ini menghidap HFMD. Siasatan dan kajian makmal masih lagi diteruskan.
Seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan dari Kampung Pangtray, Daro Sarawak disahkan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru yang teruk (severe pneumonia).
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi Astro AWANI melalui pesanan khidmat ringkas, Whatsapp, di sini, hari ini.
Ketika diminta mengulas sama ada penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) itu adalah antara penyebab jangkitan paru-paru, beliau berkata siasatan dan kajian makmal masih lagi dijalankan.
“Punca kematian adalah disebabkan oleh pneumonia. Mangsa sebelum ini menghidap HFMD. Siasatan dan kajian makmal masih lagi diteruskan,” ujarnya.
Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Farhan Lukman Abdullah dipercayai meninggal dunia akibat HFMD.
BACA: Kanak-kanak dari Mukah, Sarawak dipercayai maut akibat HFMD
Mangsa mula mengalami demam pada Selasa lalu dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut pada keesokkan harinya.
Kanak-kanak tersebut dibawa ke Klinik Kesihatan Daro pada hari berikutnya sebelum dirujuk ke Hospital Daro.
Bagaimanapun, keadaan mangsa tidak stabil sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia pada jam 2.08 pagi Sabtu.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Farhan Lukman Abdullah #HFMD #Kanak-kanak #maut #meninggal dunia #Noor Hisham Abdullah #pneumonia #Sarawak
;