Kanak-kanak derita jantung berlubang, ibu resah tanggung kos pembedahan

Anthea Yap
Februari 22, 2016 19:49 MYT
Setiap kali menangis, muka Muhammad Rizqi akan bertukar kebiru-biruan serta bengkak akibat masalah penyakit jantung yang dialaminya iaitu tiada saluran injap.
Baru berusia tiga tahun, seorang kanak-kanak, Muhammad Rizqi Shahrulnizam menderita penyakit jantung berlubang, pekak dan tiada saluran najis sejak dilahirkan.
Dalam tempoh 36 bulan lalu, Muhammad Rizqi terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan dan rawatan bagi pelbagai masalah kesihatannya.
Muhammad Rizqi yang tinggal bersama keluarganya di Flat Desa Ria, Taman Medan Petaling Jaya juga mempunyai 12 jari di kedua-dua tangannya.
Setiap kali menangis, muka Muhammad Rizqi akan bertukar kebiru-biruan serta bengkak akibat masalah penyakit jantung yang dialaminya iaitu tiada saluran injap.
Selain itu, bayi ini turut disahkan pekak kerana telinganya tidak mempunyai cuping yang sempurna serta saluran seperti insan normal
Menurut ibunya, Ramiza Mohd Hamdan, 30, berikutan ketiadaan saluran najis, anak keempatnya itu telah melalui beberapa siri pembedahan.
"Orang tak tahu apa yang saya alami selama tiga tahun. Mungkin kali ini saya boleh senyum tapi hati saya tak ada orang boleh tengok saya gembira, Takkan hari-hari saya nak menangis kerana dia. Kalau saya sedih macam mana dengan dia yang tak kuat, Semuanya saya kena buatlah.
“Saya cuba berikan semangat namun saya tak boleh kerana saya sangat sedih dan kalau dia masuk hospital, saya semakin kecewa dan sedih,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
Kos tinggi
Jelasnya, Muhammad Rizqi kini perlu melalui satu lagi pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
Bagaimanapun, katanya kekangan kewangan menyebabkan proses pembedahan itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali kerana kosnya yang terlalu mahal iaitu hampir mencecah RM60,000.
"Semoga kali ini pembedahan dia berjaya dan mudah-mudahan dia akan sihat seperti kakak dan abangnya,” luah Ramiza.
Setakat ini, Muhammad Rizqi menerima bantuan kewangan RM400 sebulan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun bank CIMB Ramiza 12600005446209 atau menghubungi talian 012-251 7002.
#derita kanak-kanak #jantung berlubang #Muhammad Rizqi Shahrulnizam #Pembedahan #rayu bantuan
;