Kanak-kanak cedera kaki tersepit eskalator pasar raya
Sinar Harian
Januari 8, 2022 10:31 MYT
Januari 8, 2022 10:31 MYT
KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak perempuan cedera dua jari kaki kiri selepas tersepit eskalator di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.
Mangsa yang berusia empat tahun itu cedera pada jari kelingking dan tengah dalam kejadian jam 12.30 tengah hari.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, mangsa sebelum itu bersama bapanya yang berusia 36 tahun ke pasar raya berkenaan dan menaiki tangga bergerak tersebut.
“Mereka dari aras bawah ke tingkat satu bangunan dan semasa menaiki tangga bergerak tersebut, kaki anaknya tiba-tiba tersepit pada bahagian hujung tangga berkenaan.
“Mangsa dibantu pihak teknikal pasar raya dan orang awam yang menghentikan tangga tersebut sebelum dapat mengeluarkan kaki kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk rawatan.
“Kami menerima laporan polis yang dibuat oleh bapa kanak-kanak itu pada jam 5 petang, Jumaat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai dan ibu bapa supaya berhati-hati serta mengawasi anak-anak kecil yang menggunakan eskalator.
Rakaman video kejadian itu turut tular di laman sosial sejak Jumaat.
*Berita asal di Sinar Harian