Kanak-kanak bawah 12 tahun tidak diberi vaksin COVID-19 - KJ
Fauzi Suhaimi
November 25, 2020 14:13 MYT
November 25, 2020 14:13 MYT
KUALA LUMPUR: Pengagihan vaksin COVID-19 yang dijangka diterima pada suku pertama tahun depan tidak membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini pembangunan vaksin itu ke atas golongan terbabit masih belum diuji, sebaliknya hanya tertumpu kepada golongan dewasa.
“Mana-mana vaksin COVID-19 yang dibangunkan sekarang belum diuji kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun ke bawah.
“Oleh itu, mereka tidak dapat menerima vaksin pertama pada tahun depan kerana kita akan memberi tumpuan kepada golongan dewasa untuk mencapai tahap imuniti kelompok," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Terdahulu, beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mencelah meminta penjelasan hanya 70 peratus rakyat Malaysia akan diberi suntikan vaksin COVID-19 sebaik bekalan diperoleh tahun depan.
Dalam pada itu, Khairy (BN-Rembau) berkata, pelan komunikasi strategik sedang dirangka bagi menyampaikan maklumat mengenai vaksin termasuk bagi menangani gerakan antivaksin.
“Jawatankuasa Kecil Komunikasi (JKK) yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), MOSTI dan Kementerian Kesihatan (KKM), yang berperanan menyampaikan maklumat strategik berkenaan vaksin kepada negara dan rakyat serta kepada khalayak sasaran yang tepat berhubung vaksin berkenaan.
“Pelan komunikasi ini juga akan melibatkan pelbagai kumpulan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agamawan, ketua komuniti serta pihak swasta bagi mamastikan penerangan jelas berkaitan vaksin ini dapat disampaikan secara berkesan kepada setiap kumpulan sasaran.
“Mengenai status halal vaksin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut menganggotai JKK ini bagi memastikan orang Islam di negara ini mendapatkan maklumat yang tepat berkait penggunaan vaksin ini,” jelasnya.
#Khairy Jamaluddin
#Ahmad Maslan
#Dewan Rakyat
#Kementerian Kesihatan
#COVID-19
#Kanak-kanak
#vaksin COVID-19