Kanak-kanak, bapa tiri maut digilis treler simen

Aida Aziz
Julai 6, 2020 17:06 MYT
Pasukan bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di bawah tayar treler. -JBPM
Seorang kanak-kanak lapan tahun bersama bapa tirinya yang menunggang motosikal maut selepas digilis sebuah treler simen dalam kemalangan di Jalan Persekutuan, dekat sini pada Isnin.
Dalam kemalangan jam 11.30 pagi itu, Mohammd Raiyan Danish Abdullah dan Mohd Subir Mahamad Isa, 54, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit di bawah tayar treler berkenaan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata siasatan awal mendapati treler itu dan motosikal mangsa yang berada di sebelah kiri menuju ke arah sama.
"Siasatan awal mendapati, sampai di satu simpang treler itu membelok ke kiri lalu melangar dan menggilis motosikal ditunggang kedua-dua mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Ujarnya, pemandu lori itu sudah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
"Anggota bergegas ke lokasi bersama bantuan BBP Bagan Serai dan mendapati dua mangsa lelaki tersepit di bawah treler tersebut manakala pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Anggota bomba menggunakan air lifting bag bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di bawah treler," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
#air lifting bag #anak tiri #bapa tiri #belok #blind spot #bomba #digilis #kamunting #kemalangan #Perak #polis #simen
;