Kanak-kanak autistik lebih istimewa daripada kita - Tunku Kamariah Aminah
Hasimi Muhamad
April 6, 2019 19:30 MYT
April 6, 2019 19:30 MYT
Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar menyeru masyarakat supaya tidak memandang hina terhadap kanak-kanak autistik.
Sebaliknya, kata Tunku Kamariah Aminah, kanak-kanak ini perlu dihargai kerana mereka adalah ciptaan Allah SWT yang begitu istimewa, selain menggalakkan orang ramai memupuk kasih-sayang sesama manusia.
“Pada saya, kita manusia mesti hargai manusia lagi, kita hargai, kadang-kadang masyarakat ini dia tengok orang macam kurang (upaya). Sepatutnya kita buka mata menolong orang dengan cara yang kita boleh, apa yang kita ada dan mengikut kemampuan.
“Dia (kanak-kanak autistik) lebih istimewa daripada kita (orang normal),” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Intermark Mall, di sini pada Sabtu.
Tunku Kamariah Aminah hadir bagi merasmikan kempen ke-dua ‘Embrace Autism‘ yang berlangsung sempena sambutan Hari Autisme Sedunia.
Program dua hari yang bermula hari ini dianjurkan dengan kerjasama Dome Café, Intermark Mall dan Early Autism Project Malaysia.
Ditanya kesedaran masyarakat mengenai autisme, beliau berkata program-program sebegini perlu diperbanyakkan memandangkan kesedaran terhadap autisme dalam kalangan masyarakat dilihat masih kurang.
“Stigma di kalangan masyarakat adalah mereka sentiasa menganggap kanak-kanak autistik ini berbeza, namun realitinya ada antara mereka lebih menyerlah berbanding kanak-kanak normal, di sebabkan itu program ini amat penting bagi mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat,” katanya.
Menariknya, pada majlis pelancaran itu Tunku Kamariah Aminah turut menjemput dua artis autisme untuk melukis di pentas dan kemudiannya melawat reruasi-reruasi yang menampilkan hasil seni kanak-kanak autistik.