Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata mayat Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle ditemui terapung berhampiran tebing sungai berkenaan kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Beliau berkata, ibu mangsa menyedari kehilangan anaknya itu kira-kira pukul 4.30 petang sebelum membuat laporan polis pada pukul 5.40 petang.
Katanya, selepas mendapat laporan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Dalam siasatan di tempat kejadian, kita telah menemui selipar dan pakaian mangsa di tepi longkang di seberang jalan rumah mangsa.
“Mangsa dipercayai menanggalkan lampin pakai buang dan berjalan ke sungai sebelum terjatuh ke dalam sungai itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, nenek saudara mangsa, Fatimah Abdullah, 76, berkata sebelum kejadian, mangsa bermain bersama tiga adik-beradik lain di dalam kawasan rumah.
Katanya, mangsa telah keluar secara senyap-senyap menggunakan pintu lain sebelum ahli keluarganya menyedari kehilangannya selepas Asar.
“Sebelum kejadian mangsa bermain dengan abang dan kakak dan lepas itu abang pergi solat Asar dan pintu pagar dikatakan ditutup tidak rapat.
“Saya rasa sebak apabila mengetahui mangsa menanggalkan pakaian dan tinggalkannya di tepi longkang... seolah-olah meninggalkan petunjuk untuk kami mencari kehilangannya,” katanya.
Katanya, mayat cucu saudaranya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Dalam di sini sebaik selesai urusan bedah siasat.