Kanak-kanak 8 tahun meninggal dunia akibat kencing tikus

Astro Awani
Disember 6, 2014 07:48 MYT
Mangsa bersama dua adik-beradiknya mandi di sebuah kolam dengan sumber air yang dialirkan daripada sebuah air terjun berdekatan. - Gambar fail
Keseronokan lima sekeluarga pulang dari bercuti bertukar menjadi mimpi ngeri apabila anak sulung dalam keluarga tersebut meninggal dunia 11.30 malam tadi setelah positif dijangkiti virus kencing tikus (leptospirosis).
Amirah Maisarah Zir Omar Khan, 8, mengalami demam panas sejak Selasa lalu dan di masukkan ke sebuah hospital swasta sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar setelah keadaannya menjadi semakin serius.
Menurut bapa mangsa, Zir Omar, mereka sekeluarga telah pergi ke kawasan peranginan air terjun di sebuah resort di Yan, Kedah sebaik cuti sekolah bermula pada 27 November lalu.
Di situ terdapat sebuah kolam yang sumber airnya dialirkan daripada air terjun berdekatan dan ketiga-tiga anak Zir Omar bermandi-manda di kolam tersebut sebaik sahaja tiba.
Sementara itu, anak keduanya, Nursyazana, 5, turut disahkan positif kencing tikus dan kini sedang menerima rawatan di HSB. Anak bongsunya, Zahra Alisya, 2, bernasib baik kerana telah disahkan bebas jangkitan.
Jenazah Amirah dikebumikan di Masjid Al-Hidayah, Bukit Pinang, Kepala Batas kira-kira jam 11 pagi tadi.
#Kanak-kanak #Kedah #kencing tikus #meninggal dunia