Kanak-kanak 8 tahun ditemukan lemas di tebing Sungai Danga

Bernama
November 16, 2024 22:33 MYT
KUP Nordatul Badrol Abd Rahman berkata mangsa ditemukan pada 5.10 petang oleh anggota bomba iaitu 3.7 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh. - Gambar hiasan/Unsplash
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun yang terjatuh ke dalam longkang besar di kawasan Bandar Baru Uda, Tampoi di sini semalam ditemukan lemas di tebing Sungai Danga petang tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I KUP Nordatul Badrol Abd Rahman berkata mangsa ditemukan pada 5.10 petang oleh anggota bomba iaitu 3.7 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
"Pasukan Keluaran Operasi membuat pencarian menggunakan sebuah bot di sekitar Sungai Danga selain sebuah jentera Fire Rescue Tender dan dua utiliti dengan kekuatan 12 anggota serta lapan anggota Pasukan Penyelamat di Air.
"Operasi mencari dan menyelamat ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam dengan masing-masing tujuh anggota," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata ketika kejadian, mangsa serta dua rakan lelaki berumur tujuh dan lapan tahun bermain air di tepi longkang berhampiran lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang selepas tergelincir dan dihanyutkan arus deras ke arah longkang besar berhampiran sebuah pasar raya.
-- BERNAMA
#Fire Rescue Tender #lemas #SAR #PDRM
;