Kanak-kanak 6 tahun dikhuatiri lemas jatuh sungai di Yan
Adie Sufian Zulkefli
November 7, 2021 22:37 MYT
November 7, 2021 22:37 MYT
YAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam sungai di Kampung Perupok, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.35 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian pegawai dimaklum oleh ibu mangsa bahawa anaknya berusia enam tahun dihanyut arus sungai ketika hujan lebat.
"Pasukan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan membuat pencarian di permukaan air di lokasi terbabit," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Sungai Petani seramai lima orang sudah diarahkan ke lokasi kejadian untuk membantu pencarian mangsa.
Katanya, kawasan itu tidak terjejas dalam banjir berlaku di Kedah namun hujan lebat mengakibatkan paras air sungai meningkat dan arus deras.