Kanak-kanak 6 tahun dihanyut arus ditemui selamat
Adie Sufian Zulkefli
Februari 1, 2023 20:19 MYT
Februari 1, 2023 20:19 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dihanyutkan arus selepas terjatuh ke dalam longkang ditemui selamat di dalam kolam kumbahan di Taman Sejati Indah, Sungai Petani, pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 5.07 petang.
“Ketika kejadian hujan lebat dan mangsa tergelincir ketika bermain di tebing longkang lalu hanyut dibawa air deras.
“Anggota bomba menemui mangsa dalam keadaan selamat pada jam 5.37 petang di tebing kolam takungan tidak jauh dari tempat mangsa dilaporkan jatuh,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sayani berkata, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dan dibawa ke tempat yang selamat dan diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Syukri Hashim berkata, ibu mangsa yang melihat anaknya terjatuh cuba menyelamatkannya namun gagal apabila dia dihanyut arus.
"Ibu mangsa cuba menyelamatkan anaknya di sepanjang longkang itu sehingga ke kolam kumbahan, namun gagal dan jiran yang mendengar jeritan meminta tolong terus menghubungi bomba.
"Mangsa kemudian dilihat tenggelam timbul di dalam kolam kumbahan itu. Anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian bertindak terjun ke dalam kolam dan berjaya membawa naik kanak-kanak itu sebelum dia diberikan rawatan awal," katanya ketika dihubungi.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.