Kanak-kanak 5 tahun rentung, ibu dan bayi melecur hampir 50 peratus dalam kebakaran rumah panjang

Shafik Ahmad
Jun 13, 2022 08:41 MYT
Pasukan bomba menemukan mayat mangsa yang rentung di dapur bilik nombor 11 semasa kerja-kerja 'overhaul' dijalankan. - Foto JBPM Sarawak
BETONG: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun ditemui rentung manakala adik dan ibunya melecur dalam kebakaran Rumah panjang Polly Anak Sulau di Bukong Asal dekat Jalan Lidong di sini pada Isnin.
Mangsa dikenal pasti sebagai Rezdesson Carlos Robson, adiknya Elsa Amanda,2, dan ibunya Ency Shaylla, 25 tahun.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Henderi Ardimansyah ketika mengesahkan kejadian itu berkata kebakaran dipercayai berlaku pada jam 9.22 pagi.
“Semasa kejadian terdapat seramai 59 penghuni berada di rumah panjang 11 pintu.
“Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong diatur gerak ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurutnya, mangsa ditemukan rentung di ruang dapur bilik nombor 11 semasa kerja-kerja overhaul dilakukan.
Sementara itu, dua lagi mangsa melecur hampir 50 peratus telah dihantar ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
#kebakaran #Rumah panjang #rentung #melecur