Kanak-kanak 5 tahun lemas tergelincir dalam longkang
Adie Sufian Zulkefli
Mei 21, 2021 17:51 MYT
Mei 21, 2021 17:51 MYT
LANGKAWI: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun ditemukan lemas selepas tergelincir sebelum dihanyut oleh air di dalam longkang berhampiran Masjid Bukit Malut, Langkawi, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Polis (ACP) Shariman Ashari, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.50 petang dan ketika itu mangsa Muhammad Raziq Najwan Mohamad Ropi, bersama sepuluh rakan lain sedang bermain air hujan di hadapan masjid.
“Tiba-tiba mangsa tergelincir dan terjatuh di dalam saluran longkang bertutup lalu dihanyutkan air deras.
“Pasukan bomba dan polis bersama penduduk bertindak mencari mangsa dan berjaya menemui mangsa kira-kira jam 2.15 petang, 100 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Shariman, mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#Kanak-kanak
#lemas
#longkang
#Masjid Bukit Malut
#Langkawi
#Muhammad Raziq Najwan Mohamad Ropi
#Hospital Sultanah Maliha