Kanak-kanak 4 tahun maut kereta terjunam ke sungai
Adie Sufian Zulkefli
Disember 26, 2021 18:00 MYT
Disember 26, 2021 18:00 MYT
KUBANG PASU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas kereta dinaiki bersama ibu bapa serta adiknya terjunam ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Jitra (HJ) manakala adiknya yang berusia dua tahun kritikal dan dirawat di zon merah hospital berkenaan.
Bapa dan ibu mangsa yang masing-masing berusia 35 dan 34 tahun hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 11.29 pagi.
“Sebaik anggota tiba di lokasi mereka mendapati kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam namun kereta tenggelam ke dasar sungai.
"Siasatan awal mendapati, kereta yang dinaiki kesemua mangsa dari arah pekan Jitra menghala ke Air Hitam namun sebaik tiba di Jalan Sungai Korok, pemandu hilang kawalan lalu melanggar papan tanda di sebelah kanan jalan sebelum terjunam ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Rodzi berkata, semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.
"Namun kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 12.20 tengah hari ketika menerima rawatan di hospital.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.