Kanak-kanak 4 tahun lemas mandi lombong, abang masih hilang
Adie Sufian Zulkefli
Mac 12, 2023 14:41 MYT
Mac 12, 2023 14:41 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun ditemukan lemas manakala abangnya berusia enam tahun masih hilang selepas dipercayai mandi di lombong pasir di Kampung Pematang Kedondong, Tikam Batu, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Zaidy Che Hassan, berkata mayat kanak-kanak itu yang tersangkut pada jala ikan ditemui penduduk kampung pada jam 7.30 pagi tadi.
Katanya, operasi mencari menyelamat (SAR) sedang dilakukan untuk mencari seorang lagi mangsa.
“Operasi SAR masih dilakukan pasukan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang di dalam lombong terbabit,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurut Zaidy, kedua-dua mangsa dipercayai pergi ke kawasan lombong terbabit sekitar jam 6 petang semalam.
Katanya, kehilangan mangsa disedari ahli keluarga selepas tidak pulang ke rumah sehingga jam 8 malam tadi.
“Setelah pencarian dilakukan ibu mangsa menemui pakaian anaknya di tepi tebing lombong itu.
"Berikutan itu ibu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Tikam Batu pada jam 9 malam,” ujar Zaidy.